Berita

ASEAN bincang rangka kerja beri perlindungan pekerja migran bermula 2026-2030

Agenda utama Mesyuarat Ke-18 ASEAN berhubung pelaksanaan Deklarasi Mengenai Perlindungan dan Promosi Hak-Hak Pekerja Migran (ACMW) memberi tumpuan kepada memberi perlindungan dan promosi hak golongan itu di rantau ini. 

Mesyuarat itu menghimpunkan wakil dari semua negara ASEAN termasuk Timor Leste yang hadir sebagai pemerhati, manakala ASEAN Sekretariat bertindak sebagai penyelaras utama mesyuarat.

Tumpuan diberikan kepada perbincangan Rangka Kerja Kerjasama ASEAN 2026-2030 bagi memperkukuh perlindungan dan promosi hak pekerja migran di rantau ini. 

“Perbincangan merangkumi pelan tindakan strategik yang lebih inklusif, meliputi aspek perlindungan undang-undang, kebajikan sosial, peningkatan kemahiran serta akses kepada keadilan bagi pekerja migran,” kata Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menerusi laman media sosialnya.

Langkah tersebut selari dengan komitmen Malaysia di bawah teras Keterangkuman dan Kesejahteraan Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan antara kepentingan ekonomi dan perlindungan hak asasi pekerja, termasuk golongan migran yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Mesyuarat itu turut menjadi platform penting bagi negara-negara anggota bertukar pandangan, berkongsi amalan terbaik serta membina konsensus dalam memperkukuh rangka kerja serantau. 

Perbincangan yang dilaksanakan tersebut dijangka menghasilkan hala tuju jelas dan komprehensif dalam menangani isu-isu berkaitan pekerja migran bagi tempoh lima tahun akan datang. -MalaysiaMADANI