Malaysia kekal dengan pendirian untuk tidak menjadi pemerhati pasif sebaliknya memilih untuk menjadi agen perubahan demi masa depan yang adil, aman dan lestari, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia kini di ambang perubahan besar dengan ketengangan kuasa besar, krisis kemanusiaan dan cabaran iklim serta teknologi yang menuntut kepemimpinan berani dan berprinsip.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia tampil dengan pendekatan progresif yang memperkukuh prinsip ASEAN menerusi integrasi ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, dan perdagangan terbuka sebagai asas keselamatan serantau.
“Malaysia tidak akan menjadi pemerhati pasif, sebaliknya memilih untuk menjadi agen perubahan demi masa depan yang adil, aman dan lestari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir dalam dalam Sidang Meja Bulat Asia Pasifik Ke-38 anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS).
Tegas beliau Malaysia kekal berpegang kepada prinsip “active non-alignment” sebagai strategi berdaulat yang menjamin maruah dan fleksibiliti.
“Kita bekerjasama dengan semua termasuk Amerika Syarikat, China, Kesatuan Eropah, India dan negara-negara Selatan Global atas dasar saling hormat dan kepentingan bersama.
“Dunia stabil tidak boleh dibina atas paksaan unilateral,” ujarnya.
Bagaimanapun beliau bertegas krisis Gaza dan Myanmar menuntut semua pihak bertindak kolektif.
Katanya Malaysia komited kepada proses damai milik rakyat Myanmar dan tegas menuntut gencatan senjata serta akses bantuan ke Gaza.
Malah katanya, Malaysia MADANI akan terus menyuarakan kebenaran dengan prinsip, hikmah dan keberanian demi dunia yang lebih adil, bermaruah dan berpaksikan nilai kemanusiaan. – MalaysiaMADANI