Semua institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) diberi pilihan untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) sama ada secara dalam talian atau fizikal sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, minggu depan.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan, kelonggaran berkenaan dibuat sebagai tanda cakna dan prihatin terhadap kesejahteraan warga selaras nilai Malaysia MADANI.
Hal demikian juga disebabkan penutupan jalan dan kawalan keselamatan sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN melibatkan kawasan di sekitar Lembah Klang.
“Setiap IPT diminta untuk membuat semakan lokasi, masa dan tarikh laluan yang ditutup untuk menentukan keperluan bagi PdP secara dalam talian.
“Kementerian yakin dengan PdP secara dalam talian ini akan memberi kemudahan kepada mereka yang terlibat untuk merancang pergerakan dan dalam masa sama memastikan proses PdP dapat berjalan dengan lancar,” katanya.
Justeru, KPT menjelaskan mahasiswa yang terkesan boleh berhubung terus dengan IPT masing-masing bagi mendapat maklumat lanjut.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 hingga 27 Mei ini di samping Sidang kemuncak Majlis kerjasama ASEAN – Teluk (GCC) yang kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN – GCC- China yang pertama.
Ini merupakan kali kelima, Malaysia mempengerusikan ASEAN. Sebelum ini adalah pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Bermula 1 Januari lalu, Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN dengan mengangkat tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ yang mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur. – MalaysiaMADANI