Malaysia komited untuk memacu tindakan iklim serantau yang lebih kukuh, memperjuangkan peralihan tenaga yang adil, inklusif serta meletakkan ASEAN sebagai hab untuk inovasi hijau dan pelaburan mampan.
Perkara berkenaan dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyertai dialog maya yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres dan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
“Kami bertukar pandangan dan amalan terbaik dalam menangani perubahan iklim di samping membincangkan isu-isu berkaitan termasuk persediaan penetapan sasaran Nationally Determined Contribution (NDC) yang akan datang,” katanya.
Dialog berkenaan turut disertai 16 ketua negara lain sebagai persiapan Persidangan Perubahan iklim (COP30) yang akan bermula 10 hingga 21 November ini di Brazil.
Dalam dialog berkenaan Malaysia menegaskan komitmen untuk mengurangkan keamatan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050.
“Matlamat ini disokong oleh dasar yang kukuh seperti Dasar Perubahan Iklim Negara (DPIN) 2.0, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan pelaksanaan cukai karbon bermula tahun hadapan,” katanya.
Malah Anwar menegaskan Malaysia turut menekankan kepentingan kerjasama global dan pembiayaan iklim yang adil, khususnya bagi negara membangun. – MalaysiaMADANI