Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya melaksanakan transformasi bagi perkhidmatan kesihatan di klinik-klinik kerajaan dengan mengurangkan tempoh waktu menunggu dari tiga jam kepada 30 minit.
Perkara itu dinyatakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengenai pencapaian yang berjaya dilakar oleh kementeriannya menerusi tekad pelaksanaan agenda transformasi digital kesihatan.
“Tahun ini menjadi merupakan tahun untuk bekerja dengan melaksanakan segala perancangan bagi merealisasikan agenda berkenaan.
“2025 adalah tahun pelaksanaan. Masa untuk bertindak, kita sudah mendigitalisasikan perkhidmatan utama, mengurangkan waktu menunggu di klinik penjagaan primer utama dari tiga jam kepada hanya 30 minit,” katanya.
Mengulas lanjut beliau menjelaskan peningkatan berkenaan sangat memberangsangkan sehingga berlaku peningkatan sehingga 48.6 peratus.
“Dari 107 klinik antara 2007 hingga 2022 kepada 159 klinik pada 2024 dan pada awal Februari tahun ini sahaja, peningkatan sebanyak 48.6 peratus,”katanya lagi.
Dr Dzulkefly sebelum ini ketika sidang Dewan Rakyat memaklumkan, KKM menyasar untuk melaksanakan transformasi digital di setiap fasiliti kesihatan seluruh negara.
Malah pelaksanaan berkenaan boleh dilakukan dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang. – MalaysiaMADANI