Berita

KPT dalam fasa akhir siapkan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM)

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini dalam fasa akhir untuk melancarkan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) bagi tempoh sedekad akan datang bagi menggantikan pelan sedia ada yang berakhir hujung tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beberapa mesyuarat perbincangan dan libat urus di pelbagai peringkat dengan berbagai kumpulan telah diadakan.

“Bagi memastikan semuanya berada pada landasan yang tepat, saya telah mengadakan perjumpaan dengan semua ahli jawatankuasa dan pakar rujuk PPTM bagi mendapatkan makluman terkini sebelum dilancarkan pada tahun ini.

“Beberapa info terkini termasuklah input selepas pembentangan bersama Perdana Menteri, idea serta cadangan yang saya perolehi sepanjang berada di lawatan luar negara juga beberapa cadangan terkini selari dengan tuntutan perubahan teknologi semasa telah ditambahbaik,” katanya.

Mengulas lanjut beliau menjelaskan PPTM 2025-2035 yang akan dilancarkan dan bakal menjadi panduan 10 tahun akan datang dalam usaha melonjakkan pendidikan tinggi negara ke persada global seiring luruan teknologi yang pesat berkembang.


Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat jawatankuasa Penasihat PPTM bagi membentangkan draf akhir kepada Ahli Jawatankuasa Penasihat

Turut dibincangkan usaha penyesuaian revolusi teknologi (AI, digital dan STEM) dalam sistem pendidikan tinggi demi membangunkan kerangka bersifat ‘game-changers’ sebagai pemangkin transformasi pendidikan negara.  – MalaysiaMADANI