Berita

Malaysia berhasrat  jadi hub rujukan pendidikan tinggi

Malaysia berhasrat menjadikan negara ini sebagai hub rujukan pendidikan tinggi dan menarik lebih ramai pelajar luar negara menimba ilmu di negara ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya  memberi jaminan untuk sentiasa melakukan penambahbaikan untuk menarik lebih ramai pelajar luar negara datang ke Malaysia.

“Sehingga 2024, jumlah pelajar antarabangsa di Malaysia ialah lebih daripada 140,000  pelajar dan pada masa sama, jumlah pelajar Malaysia yang berada di United Kingdom (UK) juga melebih 13 ribu orang,

“Jadi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa melakukan penambahbaikan untuk menarik lebih ramai pelajar luar untuk datang ke Malaysia dan menjadikan Malaysia sebagai hub rujukan pendidikan tinggi serantau dan global,” katanya.

Terdahulu beliau mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sesi meja bulat bersama kapten industri dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) di London.

Pertemuan berkenaan melibatkan 30 syarikat tempatan di United Kingdom (UK) dan 13 syarikat GLIC dari Malaysia.

Antara GLIC yang terlibat ialah Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Khazanah Nasional Berhad, Gamuda Berhad, Permodalan Nasional Berhad dan Petronas UK.

Manakala syarikat dari UK yang terlibat ialah Air Bus UK, AstraZeneca, Jaguar Land Rover Nottingham University dan Raw Energy.

Pertemuan berkenaan turut disusuli dengan pertemuan perniagaan satu demi satu bersama lima syarikat besar dari UK seperti Standard Chartered PLC, Jaguar Land Rover Automotive PLC dan Raw Energy.

Mereka bertukar pandangan dalam usaha menarik kemasukan pelabur asing ke Malaysia.  – MalaysiaMADANI