Berita

Tempat berteduh motosikal jamin keselamatan, sedia papan tanda mencukupi


KUALA LUMPUR:
Kebimbangan jadi mangsa kemalangan atau paling tidak basah lencun ketika hujan yang dihadapi penunggang motosikal kini boleh dielakkan dengan pembinaan 119 tempat berteduh khusus buat mereka di seluruh negara.

Inisiatif di bawah Bitara MADANI itu merupakan kerjasama antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuh Raya (LLM) selain turut melibatkan 33 syarikat konsesi lebuh raya.

Ahli Bersekutu Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud yang memuji usaha itu, mencadangkan agar papan tanda amaran bersesuaian dan mencukupi disediakan bagi memastikan pengguna jalan raya lain menyedari kewujudan tempat berteduh tersebut seterusnya memperlahankan kenderaan mereka ketika melaluinya.

https://embed.astroawani.com/embed-news-keyword/keyword/papan%20tanda/id/432692

“Saya yakin KKR serta pihak konsesi lebuh raya akan membuat kajian terperinci tentang komponen penting yang perlu disediakan dan lokasi teduhan yang biasanya mempunyai bilangan pengguna motosikal lebih banyak berbanding lokasi lain,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pada 4 Ogos lepas, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan 119 tempat berteduh akan dibina di lebuh raya seluruh negara dalam usaha memudahkan penunggang motosikal berteduh terutama ketika hujan.

Menurut Nanta 40 daripada 119 tempat berteduh baharu itu dijangka siap tahun ini, manakala selebihnya tahun depan dan ia adalah tambahan daripada 353 tempat berteduh sedia ada.

Tempat berteduh yang disediakan untuk penunggang motosikal kini adalah jenis berdiri sendiri (stand-alone) dan bawah jambatan oleh pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) seperti di Kilometer (KM) 18.8 (arah utara) Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan KM429.2 (arah selatan) Lebuh Raya Utara Selatan yang sedang dalam pembinaan.

Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Marwan berkata pembinaan tempat berteduh itu membolehkan penunggang dan pembonceng motosikal berteduh dalam keadaan lebih selesa tanpa kerisauan dilanggar atau dirempuh dari belakang.

Beliau berkata ini kerana kedudukan dan jarak tempat berteduh jauh dari jalan raya serta terlindung di sebalik besi penghalang jalan.

“Dengan ini risiko kemalangan melibatkan kenderaan lain dapat dikurangkan secara drastik,” katanya.

Sementara itu, pekerja p-hailing Muhammad Afiq Muhammad Nasriq, 26, berkata inisiatif itu memudahkan pergerakan beliau bersama isteri yang berulang-alik dari rumah di Shah Alam, Selangor ke tempat kerja di sini menggunakan laluan NKVE.

“Jarak antara rumah dan tempat kerja kira-kira 35 kilometer, apabila hujan agak sukar cari tempat berteduh dan adakalanya basah kuyup, barangan seperti bag dan telefon juga basah,” katanya.

Sumali Samsuri, 48, yang sering menunggang motosikal melalui NKVE untuk ke tempat kerja di sini pula berkata inisiatif berkenaan bukan sahaja menjamin keselamatan penunggang dan pembonceng motosikal, tetapi juga mengurangkan kebimbangan keluarga.

“Selalunya saya akan singgah di stesen minyak atau perhentian bas untuk berteduh, tetapi keadaan tempat yang sempit dan motor basah menyebabkan saya berasa tidak selesa.

“Apabila hujan, jalan licin dan lorong khas untuk motosikal pun ada yang berlubang serta bertakung hingga membahayakan pengguna. Isteri selalu pesan supaya berhati-hati kerana risaukan saya,” katanya.

— BERNAMA