Berita

Serasi Malaysia MADANI, tidak perlu pinda Pelan Perak Sejahtera 2030 – Saarani

IPOH: Tiada keperluan untuk kerajaan negeri meminda Pelan Perak Sejahtera 2030 kerana terdapat keserasian dengan dasar Malaysia Madani, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Bagaimanapun, kata beliau, pelan yang dilancarkan pada 15 Jun tahun lalu itu bersifat dinamik dan akan sentiasa ditambah baik mengikut keperluan dan senario semasa.

Menurutnya, ia sekali gus menyokong segala usaha yang telah dirancang di peringkat persekutuan.

“Kerajaan negeri juga mengalu-alukan cadangan supaya program Wacana Pelan Perak Sejahtera 2030 dapat diintegrasikan dengan program wacana Malaysia Madani untuk memberi kefahaman yang lebih jelas berkenaan kedua-duanya,” katanya.

Saarani berkata demikian menjawab soalan Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin (Bersatu-Chenderoh) dan Abdul Aziz Bari (DAP-Tebing Tinggi) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, hari ini.

Menurutnya, Pelan Perak Sejahtera 2030 dirangka dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat Perak dan memacu pembangunan sosioekonomi yang seimbang berpaksikan matlamat Perak Makmur, Rakyat Sejahtera.

Katanya, ia merupakan penunjuk arah untuk jentera kerajaan bagi merealisasikan pelan pembangunan jangka panjang Negeri Perak menuju 2030 yang berlandaskan tiga asas utama iaitu dinamik, realistik dan boleh capai.

Saarani berkata, intipati pelan itu digarap dengan pelan pembangunan jangka masa sederhana dan panjang di peringkat negeri, persekutuan dan antarabangsa.

Tambahnya, antaranya ialah Rancangan Struktur Negeri 2040, Pelan Pembangunan Perak Amanjaya 2020 (PAJ), Pelan Perindustrian Perak (P3), Rancangan Malaysia Ke-12, Pelan Pembangunan Strategik Wilayah Ekonomi Koridor Utara 2021 – 2025, Perak Lestari 2030, Model Pembangunan Lestari Negeri Perak (Yayasan Hasanah) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

Jelasnya, lapan keperluan yang digariskan dalam Malaysia Madani, iaitu ekonomi, kewangan, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan, kebudayaan, bandar dan luar bandar, adalah saling melengkapi dengan lima keperluan di bawah Perak Sejahtera 2030, iaitu keterjaminan makanan, pemilikan rumah, peluang pekerjaan yang berkualiti, pembangunan modal insan & belia dam kesihatan & kesejahteraan.

“Intipati kedua-dua pelan ini mempunyai hubung kait dan kejayaan pelaksanaan Perak Sejahtera 2030 akan turut menyumbang kepada pemerkasaan Malaysia Madani di peringkat negeri,” ujarnya.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/serasi-malaysia-madani-tidak-perlu-pinda-pelan-perak-sejahtera-2030-saarani-420560