Berita

Bermula dengan getir, kini berjaya bina Malaysia dengan cemerlang

Hari ini genap empat tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan menerima amanah mengemudi Kerajaan MADANI.

Perdana Menteri berkata, empat tahun bukanlah suatu tempoh yang singkat, namun beliau masih ingat betapa beratnya amanah diberikan tatkala negara berdepan pelbagai cabaran. 

Beliau berkata, dengan ekonomi tertekan, kedudukan kewangan negara terbatas, sementara rakyat pula bergelut dengan peningkatan kos sara hidup. 

Selain itu kata beliau, kelemahan tatakelola dan amalan rasuah yang sekian lama berakar turut menuntut keberanian untuk melakukan perubahan.

“Sejak hari pertama melangkah masuk ke Perdana Putra, tekad saya adalah untuk memulihkan negara dan memperbaiki kehidupan rakyat. 

“Bukan suatu perjalanan yang mudah, tetapi amanah ini mesti terus digalas dengan penuh kesungguhan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Perdana Menteri berkata, sepanjang empat tahun, seluruh lapisan masyarakat telah bersama-sama membina asas yang lebih kukuh untuk Malaysia. 

Tegas beliau, kedudukan kewangan negara diperkemas, tatakelola diperbaiki, reformasi institusi digerakkan dan kebajikan rakyat terus diperkukuh.

Beliau berkata, perjalanan masih jauh dan banyak lagi yang sedang diusahakan. 

Perdana Menteri berkata, beliau sedar bahawa ukuran sebenar kemajuan negara adalah apabila kehidupan setiap keluarga menjadi lebih baik, rezeki lebih terjamin dan masa depan anak-anak lebih terbela. 

Jelas beliau, perkara-perkara tersebut sedang diperjuangkan dan dengan asas yang telah dibina, beliau yakin Malaysia mampu melangkah lebih jauh, dapat meringankan beban rakyat dan membuka lebih banyak ruang serta peluang yang adil untuk semua.

“Terima kasih atas kesabaran, teguran, doa dan kepercayaan saudara-saudari sekalian. Selagi diberi amanah ini, akan saya curahkan segala daya dan upaya demi rakyat dan negara yang saya cintai.

“Perdana Menteri boleh datang dan pergi, tetapi nasib rakyat mesti terus dibela dan martabat negara mesti terus diangkat,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI