Berita

Bantuan Tunai Tambahan Khas RM2,500 kepada mangsa banjir yang layak di Selangor

Prihatin nasib rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘turun padang’ meninjau situasi semada dan keadaan mangsa banjir di Selangor.  

Perdana Menteri berkata, musibah banjir yang melanda beberapa kawasan di Selangor pastinya mengundang keresahan dan kepayahan kepada rakyat, terutama keluarga yang terbeban dengan masalah kerosakan harta benda serta kehilangan kelengkapan asas kediaman. 

“Justeru, saya telah berkunjung ke Jeram, Selangor untuk menekuni permasalahan ini, terutamanya daripada pasukan pihak berkuasa dan juga rakyat yang terkesan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Bagi meringankan beban mangsa banjir, Perdana Menteri mengumumkan Bantuan Tunai Tambahan Khas sebanyak RM2,500 kepada setiap ketua isi rumah mangsa banjir yang layak di Selangor.

Beliau berkata, pembayaran bantuan khas itu dijangka bermula 10 November 2026. 

Sementara itu, Perdana Menteri telah mengarahkan supaya pelaksanaan projek tebatan banjir dipercepatkan. 

Malah kata beliau, kerajaan tidak boleh terus membiarkan rakyat berdepan musibah yang sama saban tahun tanpa penyelesaian yang tuntas dan berkesan. 

“Bagi pihak kerajaan, ini masalah utama yang mesti kita beri tumpuan dan tidak semata memberikan bantuan, tetapi memastikan rakyat tidak terus terbelenggu dengan kesusahan yang sebegini rupa hampir setiap tahun,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI