Memantapkan golongan belia dalam sektor agromakanan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menganjurkan Himpunan Agropreneur Nextgen 2026.
KPKM berkata, penganjuran tersebut mencerminkan komitmen kementerian dalam memperkasa golongan belia untuk menceburi bidang pertanian dan keusahawanan agro sebagai salah satu pemacu pembangunan sektor agromakanan negara.
Selain itu katanya, ia juga menjadi platform menghimpunkan golongan agropreneur muda bagi memperluas jaringan kerjasama, bertukar-tukar pandangan serta meneroka peluang dan potensi dalam bidang pertanian dan industri asas tani.
“Inisiatif seumpama ini juga membuka ruang kepada generasi muda untuk mendapatkan pendedahan mengenai peluang keusahawanan agro serta perkembangan semasa sektor agromakanan,” kata KPKM menerusi laman media sosialnya.
Majlis dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Hadir sama Setiausaha Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani (SUB IMAT) KPKM, Datuk Dr Mohd Haniff Hassan.
KPKM berkata, penglibatan generasi muda amat penting dalam memastikan sektor pertanian terus berkembang, berdaya saing dan berdaya tahan.
Sehubungan itu, KPKM komited untuk terus menyokong usaha melahirkan lebih ramai agropreneur muda yang berinovasi, berdaya maju dan mampu menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara. -MalaysiaMADANI
