Malaysia menyatakan pendekatan menangani kemelut Myanmar menerusi sesi pemukiman Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Filipina.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi pendekatan Malaysia berhubung perkara tersebut khususnya melalui penglibatan langsung dan dialog berterusan dengan semua pihak bagi mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan.
Beliau berkata, pertemuan dengan kepimpinan Myanmar di Bangkok dan Beijing, disusuli lawatan rasmi Min Aung Hlaing ke Malaysia pada Oktober lalu merupakan sebahagian daripada usaha tersebut.
“Pendekatan tersebut tidak sekali-kali mengetepikan kerangka ASEAN dan Konsensus Lima Perkara (5PC), sebaliknya membuka ruang untuk menyampaikan pendirian serta harapan kita secara terus.
“Di samping itu menangani isu dua hala, termasuk kebajikan rakyat Myanmar di Malaysia,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berkongsi perbincangan bersama dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, antara lain menyentuh perkembangan di Myanmar.
Jelas Perdana Menteri, langkah tersebut memperlihatkan keperluan untuk meneruskan usaha diplomatik dengan pelbagai pihak bagi mencari penyelesaian kepada kemelut tersebut.
Selain itu kata beliau, perbincangan turut menyentuh ancaman jenayah penipuan rentas sempadan serta potensi kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
“Dalam soal tenaga, saya menggesa agar pelaksanaan Jaringan Grid Tenaga ASEAN dipercepat bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, khususnya daripada sektor ekonomi digital dan pusat data, di samping memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga serantau,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
