Berita

Kunjungan Macron perkukuh hubungan dua hala, tingkat kerjasama ke tahap lebih tinggi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan tamu kenegaraan, Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Bangunan Sultan Abdul Samad sempena lawatan rasmi ke Malaysia. 

Ia merupakan lawatan pertama Macron ke Malaysia sejak memegang jawatan. 

Perdana Menteri berkata, kunjungan tersebut cukup bermakna tatkala ia berlangsung di mercu bersejarah berusia lebih 100 tahun yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kemerdekaan negara.

“Usai istiadat pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormatan, saya dan Presiden Macron mengadakan pertemuan empat mata selama hampir satu jam. 

“Kami bicarakan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Perancis, di samping bertukar pandangan mengenai perkembangan geopolitik serta isu lain yang menyentuh kepentingan bersama,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Perdana Menteri dan Macron kemudiannya mengetuai delegasi negara masing-masing dalam mesyuarat dua hala, sambil mempertegaskan iltizam untuk memperkukuh hubungan Malaysia dan Republik Perancis serta mengangkat kerjasama ke tahap yang lebih tinggi.

Perdana Menteri berkata, pertemuan itu melakar satu lagi mercu tanda penting menerusi peningkatan hubungan kepada perkongsian strategik, menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia dan Republik Perancis pada tahun hadapan.

Beliau berkata, perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, teknologi tinggi, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, mineral kritikal, peralihan tenaga serta pendidikan dan pembangunan bakat, di samping mempererat hubungan kebudayaan menerusi pertukaran kesusasteraan dan pemikiran falsafah, termasuk warisan intelektual tokoh tersohor Perancis, Victor Hugo.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia juga mengalu-alukan lebih banyak pelaburan berkualiti daripada Perancis, khususnya dalam sektor berpotensi tinggi yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan daya saing negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat.

Selain itu kata beliau, perbincangan turut menyentuh perkembangan geopolitik serantau dan antarabangsa, khususnya tragedi kemanusiaan di Palestin serta konflik di Ukraine.

Perdana Menteri menegaskan keperluan mendesak untuk menamatkan konflik, menegakkan keadilan dan menghormati undang-undang antarabangsa.

“Saya menaruh sepenuh keyakinan bahawa persahabatan yang sekian lama terjalin ini akan terus diperkukuh, sekali gus membawa manfaat nyata kepada rakyat dan menyumbang kepada kemakmuran kedua-dua negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI