Berita

GITC 2026 Vietnam: MTOS beri sokongan penuh, doa anak istimewa Selangor bawa pulang kejayaan

Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) berbesar hati meraikan kontinjen Selangor yang akan mewakili Malaysia ke Global IT Challenge (GITC) 2026 di Vietnam pada Oktober ini.

Pengerusi MTOS, Danial Al-Rashid Haron berkata, GITC merupakan pertandingan teknologi maklumat bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan pelajar pendidikan khas dari pelbagai negara.

Menerusi pertandingan tersebut, beliau berkata, ia memberi peluang kepada anak-anak istimewa untuk mempamerkan kemahiran digital, kreativiti serta inovasi yang ada pada mereka.

“Penyertaan ini membuktikan bahawa anak-anak istimewa bukan sahaja mampu bersaing di peringkat kebangsaan, malah berpotensi mengharumkan nama negara di pentas dunia apabila diberi peluang, sokongan dan latihan yang sewajarnya,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Sehubungan itu, Danial berkata, MTOS mendoakan agar seluruh kontinjen diberikan kesihatan, ketenangan dan kejayaan sepanjang pertandingan itu nanti. 

“Semoga pulang membawa pengalaman berharga serta mengharumkan nama Selangor dan Malaysia,” ujarnya. -MalaysiaMADANI