Malaysia tetap dengan pendirian tegas mempertahankan dasar melarang kemasukan mana-mana warganegara rejim Israel ke negara ini sekali pun dengan apa sahaja alasan meskipun melibatkan soal perdagangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan penuh ketegasan menyatakan tidak akan ada tolak ansur berhubung pendirian Malaysia terhadap entiti haram Zionis Israel untuk masuk ke negara ini.
Beliau berkata, dasar tersebut tidak sepatutnya dipersoalkan kerana ia telah dilaksanakan Malaysia sejak puluhan tahun lalu dan bukanlah sesuatu yang baharu.
Kata beliau, meskipun diugut dan memohon supaya kerajaan Amerika Syarikat mengambil tindakan, Malaysia tidak akan tunduk dengan ancaman tersebut.
“Jangan ingat kita mudah dicabar sebegitu rupa seolah-olah Malaysia tidak ada maruah dan boleh dijadikan boneka.
“Kita ada kedaulatan dan selagi mana saya di sini, saya akan pastikan pendirian kita tidak berubah sama sekali waima sebesar mana pun ugutan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya. -MalaysiaMADANI
