Jenayah rasuah yang semakin kompleks pada masa ini menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertingkatkan lagi keupayaan agensi itu dalam menangani kes-kes berprofil tinggi.
Bagi memperkasakan lagi SPRM, Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Abd Halim Aman telah mengetuai delegasi suruhanjaya itu ke ‘Eighth Meeting of the Global Network of Law Enforcement Practitioners against Transnational Bribery’ di Ibu Pejabat Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), Paris, Perancis.
SPRM berkata, mesyuarat bertemakan ‘Following the Money: Tracking Corrupt Assets and Halting Illicit Financial Flows’ menghimpunkan pegawai penguat kuasa, pendakwa raya serta pakar antirasuah dari pelbagai negara bagi berkongsi pengalaman dan amalan terbaik menangani rasuah rentas sempadan, pengesanan aset serta aliran kewangan haram.
Dalam mesyuarat itu katanya, Abd. Halim telah menyampaikan ucapan pembukaan sebelum sesi pembentangan oleh Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Norhaizam Muhammad.
Menurutnya, Abd. Halim menekankan komitmen berterusan Malaysia dalam membanteras rasuah melalui kerjasama domestik dan antarabangsa, khususnya dalam siasatan serta pemulihan aset berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Sementara itu, Datuk Norhaizam pula membentangkan pengalaman dan pendekatan SPRM dalam mengendalikan siasatan kes 1MDB, meliputi kerjasama antara agensi di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Dalam kes itu, SPRM menggunakan pendekatan ‘intelligence-based investigation’ (IBI), strategi mengesan aliran kewangan haram serta usaha pemulihan aset melibatkan pelbagai bidang kuasa,” kata SPRM dalam satu kenyataan.
Katanya, pembentangan tersebut turut mengetengahkan kepentingan kerjasama rentas sempadan dalam memperkukuh keberkesanan siasatan kes-kes rasuah berskala besar serta mempercepatkan proses pengesanan, pembekuan dan pemulihan aset yang diperoleh melalui hasil rasuah.
Tambahnya, selain menghadiri mesyuarat tersebut, Abd Halim turut mengadakan mesyuarat dua hala bersama Senior Manager, Anti-Corruption, OECD Global Initiative, Elodie Beth.
“Beliau turut mengadakan pertemuan bersama Head of the Anti-Corruption Division, Directorate for Financial and Enterprise Affairs (DAF), OECD, Julia Fromholz,” ujarnya. -MalaysiaMADANI
