Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) melancarkan Program ‘IP Accelerator (IPX) – Evolusi Batik: Memelihara Tradisi, Memperkasa Nilai’.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program itu dilaksanakan sebagai inisiatif memperkukuh pengurusan Harta Intelek (HI) dalam kalangan pengusaha batik muda tempatan.
Selain itu kata beliau, program tersebut membantu pengusaha batik memanfaatkan HI sebagai aset strategik perniagaan bagi meningkatkan nilai komersial produk, memperkukuh penjenamaan serta memperluas akses ke pasaran domestik dan antarabangsa.
“Program ini menghimpunkan lebih 500 peserta yang terdiri daripada pengusaha batik, artisan, pereka fesyen, mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) serta wakil agensi kerajaan.
“Sebagai sebahagian daripada program ini, seramai 100 pengusaha batik muda telah dipilih menyertai Klinik Pengurusan Harta Intelek yang dianjurkan melalui kerjasama strategik antara MyIPO dan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO),” kata beliau dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, klinik tersebut menghimpunkan pakar tempatan dan antarabangsa bagi memberikan bimbingan berkaitan strategi perlindungan Harta Intelek, pembangunan portfolio, penjenamaan serta model pelesenan bagi meningkatkan nilai komersial hasil rekaan batik tempatan.
Menurut beliau, inisiatif itu dilaksanakan selaras dengan komitmen kerajaan untuk memperkukuh pembangunan sektor ekonomi kreatif yang terus menunjukkan pertumbuhan positif.
Kata beliau, berdasarkan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor ekonomi kreatif telah menyumbang sebanyak 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan nilai sekitar RM130 bilion.
“Seiring dengan aspirasi Pelan Strategik MyIPO NextGen, Program IPX memberi penekanan kepada aspek perlindungan Harta Intelek, pembangunan portfolio, penjenamaan dan pengkomersialan hasil kreativiti tempatan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
