Berita

Malaysia, India terus perkukuh hubungan dua hala

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat perpisahan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N. Reddy yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatan di negara ini tidak lama lagi.

Pertemuan itu turut dimanfaatkan bagi memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan India yang kini berada pada tahap Kerjasama Strategik Komprehensif.

“Ia mencerminkan iltizam bersama dalam memperluas kerjasama merentasi pelbagai bidang termasuk perdagangan, digital, kecerdasan buatan (AI), keterjaminan makanan, pendidikan serta hubungan rakyat dengan rakyat,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Perdana Menteri berkata, pertemuan itu turut menyentuh perkembangan positif perdagangan dua hala yang mencecah USD18.59 bilion pada tahun 2025.

Dengan jumlah itu, kata beliau, ia mengekalkan India sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan.

Tambah beliau lagi, kerjasama dalam bidang digital dan teknologi baharu juga terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan menerusi penganjuran Mesyuarat Pertama Malaysia–India Digital Council (MIDC) serta MY–India AI Conclave di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Malaysia akan terus memperkukuh hubungan baik ini demi manfaat bersama, kestabilan serantau serta kemakmuran yang lebih inklusif buat kedua-dua negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI