Berita

‘Utamakan rundingan dalam mencari penyelesaian adil’

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian Malaysia dan ASEAN sentiasa mengutamakan rundingan dan semangat kesepaduan dalam mencari jalan penyelesaian yang adil untuk semua negara anggota.

Perkara itu dinyatakan ketika menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya di New Zealand, Christopher Luxon, semalam.

Menerusi hantaran di Facebook Anwar berkata, mereka berbincang dan bertukar pandangan mengenai beberapa isu semasa, khususnya tarif perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) dan kesannya.

“Saya juga tekankan keperluan ASEAN memperkukuh kesepakatan serantau agar sebarang langkah susulan dapat diselaras secara tuntas dan berkesan,”katanya.

Dalam perbualan sama, Anwar turut memaklumkan kepada Luxon mengenai penganjuran Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN.

Tegas beliau mesyuarat berkenaan meneliti secara mendalam isu ini dan merangka pendekatan kolektif terbaik.

Katanya lagi, Malaysia komited untuk terus memperkukuh kerjasama dengan New Zealand.

Malah, bukan sahaja sebagai rakan dua hala tetapi juga dalam kerangka ASEAN.

“Kami akan terus mengadakan dialog dan rundingan bersama rakan dagang utama lain dalam usaha membentuk hala tuju ekonomi serantau yang lebih inklusif dan berdaya tahan,” katanya. – MalaysiaMADANI