Berita

Perubahan individu mampu beri kesan besar kepada negara – PM


Keprihatinan terhadap isu sosial, nilai moral yang tinggi serta kesedaran individu adalah asas kepada pembentukan masyarakat yang progresif dan negara harmoni.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berkongsi pengalaman dalam Forum Ilmuwan Madani (FIM) Siri ke-5 anjuran bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Khazanah Nasional Berhad.

Katanya perubahan bermula dari diri sendiri sebelum mampu memberikan kesan besar kepada negara secara menyeluruh.

“Elemen kesedaran dalam masyarakat ini perlu mengambil kira perubahan dunia semasa, termasuk kecanggihan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) yang banyak mempengaruhi masyarakat dari segi kemajuan dan gaya hidup,” katanya.

Bagaimanapun Anwar menegaskan  teknologi berkenaan memerlukan kawalan dan penyesuaian agar manfaatnya dapat dinikmati secara adil dan beretika.

Tambah beliau ketika mencadangkan penubuhan Fakulti AI, ia merupakan langkah penting yang selari dengan perubahan dunia hari ini.

Namun katanya ia menuntut kebersamaan semua pihak agar kita mampu dan bersedia menghadapi cabaran mendatang.

Beliau pada masa sama berkesempatan menitipkan pesanan bahawa lonjakan dan perubahan adalah kunci dalam membentuk negara yang maju.

Forum yang menghimpunkan tokoh-tokoh utama negara itu menampilkan sesi soal jawab interaktif dengan penyertaan penggiat industri dan wakil syarikat pemula (‘start-up’).

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Datuk  Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim.

Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri ke-5 ini merupakan kesinambungan usaha KPT dalam memperkukuh jalinan antara institusi pendidikan tinggi, pembuat dasar dan industri dalam menjayakan kerangka pembangunan negara. – MalaysiaMADANI