Berita

Yayasan Karyawan disaran guna teknologi AI promosi Karya Agung Dunia Melayu

Yayasan Karyawan yang akan menyambut ulang tahun penubuhan ke-30 perlu menetapkan halatuju perancangan dan strategi baharu dalam usaha mempromosikan Karya Agung Dunia Melayu dan Karya Agung Dunia, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha berkenaan perlu dilaksanakan supaya karya-karya agung berkenaan dapat dibekalkan di semua jenis sekolah, universiti awam di entiti atau fakulti yang berkaitan.

“Usaha ini boleh diadaptasi dan disegarkan menerusi teknologi kecerdasan buatan dengan semua pihak berkepentingan serta memperkenalkan semula program Hadiah Bahasa di semua peringkat sekolah dengan kerjasama syarikat-syarikat korporat,” katanya.

Perkara berkenaan disuarakan ketika menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi dan Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan yang diketuai Pengerusinya Datuk A. Aziz Deraman.

Katanya, pertemuan berkenaan telah menghimbau usahanya dan rakan-rakan seperjuangan yang cintakan pelbagai variasi karya agung dengan mengasaskan Yayasan Karyawan.

Dalam pertemuan sama, beliau turut membincangkan hala tuju yayasan berkenaan dalam aspek memelihara sumber rujukan, peneraju promosi dan peringkat pemilikan kepada karya-karya agung.

Yayasan Karyawan dibangunkan pada 1996 dengan tujuan mengkaji dan menerbitkan Karya Agung Melayu, Karya Agung Dunia Melayu dan Karya Agung Dunia di dalam bahasa Melayu.

Karya Agung Melayu yang dipilih untuk diterbitkan merupakan karya agung kesusasteraan tradisional Melayu dan juga “Dunia Melayu” yang tertulis dalam bahasa-bahasa serumpun. – MalaysiaMADANI