Berita

Patuhi jadual yang ditetapkan supaya rakyat dapat manfaat sepenuhnya – PM

Kementerian dan agensi kerajaan digesa agar mematuhi jadual pelaksanaan yang ditetapkan bagi memastikan hasil inisiatif tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang berlangsung di pejabatnya di Putrajaya.

“Saya turut meminta untuk memperhalusi kelulusan projek ICT Kerajaan melalui pendekatan Enterprise Architecture (EA) secara holistik dan mengambil kira kolaboratif merentas agensi, perkongsian infrastruktur, data, maklumat dan perkhidmatan selaras dengan hasrat Kerajaan dalam perbelanjaan berhemah.

“Antaranya termasuklah perkhidmatan Wifi di Universiti Malaya, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis yang telah selesai dinaiktaraf, dan penambahbaikan akan diperluaskan kepada 13 Institusi Pengajian Tinggi Awam, 24 Institusi Pendidikan Politeknik dan 43 Kolej Komuniti,” katanya.

Terdahulu mesyuarat berkenaan dimulakan dengan pembentangan kemajuan pelaporan terkini terkait dengan agenda transformasi negara yang menunjukkan perkembangan positif. – MalaysiaMADANI