Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama tiga hari ke Bahrain bermula hari ini akan membuka lembaran baharu dengan mengukuhkan hubungan dua hala dengan negara itu yang terjalin sejak 50 tahun lalu.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, kunjungan Anwar ke Bahrain merupakan jemputan Putera Mahkota, Shaikh Salman Hamad Al-Khalifa dan lawatan rasmi pertama Anwar ke negara itu sebagai Perdana Menteri.
“Semasa lawatan, Perdana Menteri akan disambut dalam Majlis Sambutan Rasmi dan diikuti dengan kunjungan menghadap ke atas Putera Mahkota.
“Kedua-dua akan mengadakan perbincangan mengenai kemajuan hubungan Malaysia-Bahrain dengan tumpuan kepada pengukuhan dan peningkatan kerjasama.
“Antara yang difokus utama termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan, keterjaminan makanan, perbankan Islam, Industri halal, kesinambungan dan pelancongan, selain itu isu-isu serantau dan global yang berkepentingan juga turut diperhalusi,” katanya.
Selaku Pengerusi ASEAN, Anwar juga akan memanfaatkan lawatan ini untuk memperkukuhkan kerjasama serantau terutama Menjelang Sidang Kemuncak ASEAN – Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.
Dalam lawatan berkenaan, Anwar akan menyampaikan ucapan dalam sesi utama Intra-Islamic Dialogue Conference (IIDC) yang akan menekankan kepentingan perpaduan umat Islam dalam menghadapi cabaran global semasa.
“IIDC adalah persidangan anjuran tiga organisasi Islam iaitu Al-Azhar Al-Sharif, Supreme Council Islamic Affairs (Bahrain) dan Muslim Council Of Elders yang akan dihadiri 298 agamawan dari 75 negara.
“Ucapan Perdana Menteri sewaktu persidangan itu akan menzahirkan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam yang progresif bertepatan dengan konsep MADANI,”katanya.
Bahrain adalah rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia bagi rantau Asia Barat pada tahun lalu manakala Malaysia pula adalah rakan dagang ketiga terbesar Bahrain dalam kalangan negara ASEAN dan ke-18 terbesar di peringkat global pada 2023.
Berdasarkan statistik 2024, nilai perdagangan Malaysia dan Bahrain adalah sebanyak RM1.19 bilion dengan jumlah eksport sebanyak RM251.2 juta dan import sebanyak RM934.3 juta. – MalaysiaMADANI