Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Kiosk Sentuhan MADANI pertama yang merupakan inisiatif baharu dalam menambah baik perkhidmatan awam.
Kiosk pertama ini menghimpunkan lebih 90 perkhidmatan kerajaan dan swasta bagi memudahkan akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan.
“Alhamdulillah, Kiosk Sentuhan MADANI pertama telah berjaya diwujudkan di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya, yang merupakan prakarsa terbaharu bagi memudahkan akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan.
“Saya sempat melihat dan mencuba sendiri kiosk digital agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta yang tersedia untuk dimanfaatkan segenap lapisan masyarakat.
“Ini satu lagi prakarsa penting dari Kerajaan dalam menambah baik perkhidmatan awam dan menyantuni keperluan masa kini rakyat, Insya-Allah,” katanya.
Kiosk tersebut melibatkan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan, Pos Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tenaga Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan MyDigital ID.
Bagi fasa pertama, Kiosk Sentuhan MADANI yang dibangunkan dan dikendalikan oleh Unit Pantau MADANI dengan pembabitan pelbagai kementerian, agensi dan pihak swasta beroperasi di Alamanda, Putrajaya. – MalaysiaMADANI