Berita

Perkhidmatan pengangkutan awam ditambah baik, persediaan ASEAN 2025, Tahun Melawat Malaysia 2026

Malaysia terus komited memperkukuhkan sistem pengangkutan awam dengan peruntukan yang diluluskan sebanyak RM463 juta sebagai persiapan memikul tanggungjawab Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR).

Mesyuarat berkenaan diadakan sebagai meneliti isu-isu utama berkaitan keselamatan jalan raya dan kesesakan lalu lintas serta merangka inisiatif penyelesaian yang komprehensif.

“Antara langkah progresif yang telah dibincangkan termasuk peruntukan sebanyak RM463 juta seperti diumumkan dalam Bajet 2025 untuk memperkukuhkan inisiatif pengangkutan awam, terutamanya di kawasan bandar utama dan Lembah Klang.

“Inisiatif lain yang disediakan adalah Demand Responsive Transit (DRT) yang diperkenalkan oleh Prasarana Malaysia Berhad yang berjaya mengurangkan masa menunggu pelanggan kepada hanya 13 minit daripada 40 minit,” katanya.

Beliau menambah dalam aspek keselamatan pula, mesyuarat telah memutuskan untuk mewajibkan Speed Limiter Device untuk bas kategori Completely Knocked Down (CKD) sebagai mengurangkan kemalangan akibat pemanduan melebihi had laju.

Langkah berkenaan katanya diharap dapat mengurangkan angka yang membimbangkan ini.

Katanya lagi kerjasama strategik antara agensi, termasuk kajian menyeluruh yang akan diterajui oleh MIROS bagi memastikan pendekatan yang lebih efektif dalam menangani isu-isu ini.

“Sepanjang tahun 2024 ini, Jawatankuasa Kabinet bersidang sebanyak tiga kali melibatkan High-Level Committee (HLC) dan satu sesi townhall bersama komuniti rider,” katanya.

Beliau pmenegaskan komitmen berkenaan adalah cerminan kesungguhan Kerajaan dalam memastikan pengangkutan awam yang lebih efisien serta keselamatan jalan raya yang lebih terjamin untuk rakyat Malaysia secara keseluruhannya. – Malaysia MADANI.