Kerajaan akan terus berusaha memastikan kebajikan penternak dan pengusaha perikanan diberikan keutamaan terutama yang berdepan cabaran besar seperti bencana alam ini, kata Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, pihaknya akan terus memantau situasi semasa dan merangka langkah-langkah pemulihan jangka panjang.
Tegas beliau langkah berkenaan diambil bagi memastikan sektor pertanian kekal mampan dan produktif.
Terdahulu 102 peserta Taman Kekal Perikanan (TKPM) yang terkesan akibat banjir baru-baru ini menerima bantuan.
Projek ternakan ikan di TKPM Laguna Sri Tujuh bermula pada tahun 1998 dengan spesis ternakan Kerapu Hybrid dan Siakap. Sehingga kini, terdapat 2,276 petak sangkar ternakan ikan.
Penyerahan bantuan berkenaan merupakan inisiatif KPKM melalui Jabatan Perikanan Malaysia sebagai langkah segera untuk meringankan beban yang ditanggung.
Dalam pada itu, Mohamad menambah penyerahan bantuan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan kelangsungan sektor perikanan negara dan membantu penternak bangkit semula daripada impak banjir.
Dalam banjir besar yang melanda Kelantan baru-baru ini seramai 73 penternak ikan di jajahan Tumpat dikenal pasti mengalami kerugian akibat bencana tersebut, dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM2.03 juta. – MalaysiaMADANI