Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diarah untuk memastikan tambahan hasil padi yang signifikan pada 2025.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara.
” Sasaran tersebut penting bagi meningkatkan hasil pesawah di samping memastikan keterjaminan bekalan padi beras sebagai makanan ruji negara.
“Mesyuarat antara lain memberi tumpuan kepada isu produktiviti hasil padi negara. Dalam soal ini, saya mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memastikan tambahan hasil padi yang signifikan pada tahun 2025,” katanya.
Anwar menambah mesyuarat berkenaan adalah platform tertinggi bagi kerajaan untuk menekuni isu terkait sekuriti makanan serta kebajikan petani dan pesawah.
“Dengan strategi yang proaktif dan kerjasama semua pihak, agenda keterjaminan makanan akan terus didukung oleh Kerajaan MADANI bagi kemaslahatan dan kebajikan rakyat Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata, pihaknya melaksanakan pelbagai usaha dalam memastikan produktiviti beras tempatan yang stabil.
Langkah berkenaan katanya bagi mengurangkan import beras dan meningkatkan pendapatan petani.
Malah, antara usaha dilaksanakan termasuk mempromosikan penggunaan teknologi dan memperbaiki pengurusan penanaman sistematik termasuk menggalakkan penggunaan teknologi pertanian seperti dron bagi meningkatkan hasil padi. – MalaysiaMADANI