Berita

‘Singkirkan atau gantung Israel daripada PBB’ – PM

MASYARAKAT antarabangsa digesa membina konsensus untuk menggantungkan atau menyingkirkan Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tegas Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan pantas dan segera itu bukan sahaja demi rakyat Palestin, tetapi juga kemanusiaan sejagat.

“Sebagai langkah segera, kita perlu mendesak, dan membina konsensus untuk menggantung bahkan menyingkirkan, Israel daripada PBB.

“Kita wajib menghukum dan mencegah pelanggaran undang-undang serta norma antarabangsa yang dilakukan berulang kali oleh Israel.

“Rentetan kekejaman ini telah pun merebak ke beberapa negara termasuk Lubnan dan Iran. Jika dunia berpaling pada saat ini, keganasan ini tidak akan kekal terhad,” katanya.

Beliau berkata demikian  ketika menyampaikan Kenyataan Negara bagi pihak seluruh rakyat Malaysia di Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi.

Dalam kenyataan berkenaan beliau mengakui keadaan yang dihadapi dunia Islam dan ummah pada saat ini adalah yang paling sukar dan mencabar.

Namun masih terdapat usaha berterusan yang dilakukan bagi mencari titik noktah kepada segala keganasan, kemusnahan dan kesengsaraan yang dihadapkan kepada penduduk Palestin.

Anwar menegaskan, Israel tidak tergolong dalam negara yang bertamadun, dan kebiadabannya telah melampaui batas akal, kemanusiaan dan secara terang-terangan melakukan genosid terhadap rakyat Palestin.

Pembantaian tersebut tegas beliau menyebabkan semua pihak tiada pilihan selain menuntut tindakan pantas masyarakat antarabangsa termasuk sekatan, penggantungan dan juga pengusiran.

Beliau pada masa sama mengecam tindakan itu yang berterusan menyerang Palestin dengan menyasarkan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Atas dasar itu beliau menggesa supaya semua pihak  menggandakan usaha membantu membangunkan semula Gaza daripada kehancuran.

“Kita mesti bersama, bukan sahaja sebagai umat Islam tetapi juga sebagai sesama insan, bersatu serta berpegang kepada kebenaran untuk dunia yang lebih aman dan lebih baik bagi anak-anak kita serta generasi yang akan datang. – MalaysiaMADANI