Berita

Malaysia mahu tingkatkan eksport ke pasaran UAE

MALAYSIA dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kini dalam rangka perbincangan untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala  antara kedua-dua buah negara di dalam beberapa sektor.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parkara tersebut dapat dilihat menerusi kesungguhan UAE dalam memastikan ketersediaan bekalan makanan di rantau itu dengan menjadi pusat utama bagi eksport semula produk makanan.

“Semasa di Dubai, saya telah bertemu Tuan Yang Terutama Suhail Mohamed Al Mazrouei, Menteri Tenaga dan Infrastruktur Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi membincangkan beberapa kerjasama yang bakal mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia – UAE.

“Kami berbincang mengenai isu keterjaminan makanan di mana saya dapat melihat kesungguhan UAE dalam memastikan ketersediaan bekalan makanan di rantau ini dengan menjadi pusat utama bagi eksport semula produk makanan.

Ini secara tidak langsung membuka peluang besar bagi Malaysia untuk meningkatkan eksport produk makanan dan halal ke pasaran UAE,” katanya.

Mengulas lanjut beliau menjelaskan pertemuan berkenaan turut membincangkan potensi kerjasama dalam sektor pengurusan logistik dan pelabuhan, kerjasama dalam pengurusan bencana serta kerjasama dalam pembangunan pusat data menggunakan tenaga hijau.

“Saya sendiri telah melihat, UAE melalui Space42 mempunyai sistem pemantauan bencana yang canggih.

“Ini juga berpotensi untuk membantu Malaysia dalam membangunkan sistem amaran awal (early warning system) yang mampu meningkatkan keupayaan Malaysia dalam menangani bencana dengan lebih cekap,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, UAE juga dilihat berjaya membuktikan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan pelabuhannya yang membantu mengoptimumkan pengendalian kontena dan meningkatkan efisiensi logistik negara tersebut.

“Teknologi ini sekiranya dapat diaplikasikan di Malaysia, pastinya dapat membantu me­ningkatkan kapasiti dan daya ­saing pelabuhan tempatan seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas serta Westports,” katanya.

Dalam pertemuan sama, Ahmad Zahid turut mengundang pihak UAE untuk bersama-sama menghadiri MIHAS@Dubai 2024 yang bakal berlangsung di Dubai World Trade Centre sebagai platform untuk memperkenalkan produk-produk Malaysia.

Serta mengundang UAE untuk menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang kedua pada tahun hadapan berikutan Malaysia adalah Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

“Diharapkan hubungan erat ini akan membuka lebih banyak peluang baharu bagi rakyat Malaysia serta meningkatkan kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa sebagai rakan strategik yang kukuh,” katanya. – MalaysiaMADANI