Berita

‘Kerajaan mengiktiraf jasa dan sumbangan Tun Daim kepada negara’ – PM

 
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Dr Daim Zainuddin. 
 
Menerusi laman sosial Facebook, beliau menyampaikan ucapan takziah berkenaan sejurus tiba di Peru. 
 
Anwar kini dalam lawatan rasmi sulung ke benua Amerika Selatan. 
 
Beliau pada masa sama menjelaskan kerajaan mengiktiraf jasa dan sumbangan Allahyarham kepada negara terutama ketika menjadi Menteri Kewangan. 
 
“Terima perkhabaran pemergian Tun Daim Zainudin setibanya di Lima, Peru. 

“Kerajaan mengiktiraf jasa dan sumbangan beliau kepada negara terutama semasa menjadi Menteri Kewangan. Al-Fatihah,” katanya. 
 

Terdahulu Tun Daim Zainudin dilaporkan mengalami strok dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Assunta, Petaling Jaya sebelum dilaporkan meninggalkan dunia, awal pagi 13 November 2024. 

Jenazah bekas menteri kewangan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1, ibu negara kira-kira pukul 6.10 petang. 

Lebih 100 orang terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan rapat mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham. 
 
Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan sebanyak dua kali. 

Kali pertama adalah dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur. 

Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia. – MalaysiaMADANI