PERDANA Menteri menzahirkan komitmen mahu memudahkan urusan pensijilan halal dan pembangunan pendidikan Islam dalam komuniti Islam di Peru.
Perkara berkenaan dinyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Islam Peru, Murad Hamida.
Dalam pertemuan tersebut beliau berkesempatan membincangkan soal pembangunan komuniti Islam di negara itu.
“Alhamdulillah, diberi kesempatan untuk bertemu dan mengadakan perbincangan bersama Persatuan Islam Peru diketuai Presidennya, Murad Hamida.
Turut dibangkitkan adalah komitmen Malaysia dalam memudahkan urusan pensijilan halal serta membantu pendidikan Islam dan dakwah dalam kalangan komuniti Islam di Peru,” katanya.
Dalam pertemuan Murad memuji usaha Malaysia yang sentiasa di hadapan dalam memperjuangkan nasib saudara Islam di Palestin dan Lubnan yang ditindas rejim Zionis Israel.
Malah, pertemuan penuh sejarah itu Anwar berpeluang menyampaikan al- Quran terjemahan dalam bahasa Sepanyol kepada masyarakat Islam di sana.
“Saya turut sampaikan sumbangan kepada komuniti Islam di sini selain menyerahkan 50 naskah Al-Quran cetakan khas dan terjemahan dalam bahasa Sepanyol,” katanya. – MalaysiaMADANI,