Orang ramai mula memenuhi Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bagi mengambil peluang dan terlibat secara langsung sempena Program 2 Tahun MADANI (2TM).
Kelihatan pengunjung mula beratur seawal 9 pagi bagi membuat penukaran topi keledar secara percuma di kaunter Jabatan pengangkutan jalan (JPJ).
Program 2TM dengan tema “MADANI di Hati, Rakyat Disantuni” akan berlangsung mulai hari ini hingga Ahad, 24 November ini menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada kementerian, agensi serta jabatan kerajaan kepada rakyat.
Penganjuran 2TM merupakan inisiatif kerajaan untuk meraikan rakyat dengan berkongsi hasil kerja keras selama dua tahun mentadbir dengan menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di satu lokasi.
Selain itu agensi-agensi kerajaan akan membuka kaunter khas seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyediakan kaunter bayaran saman dan pertukaran topi keledar, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, tawaran pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 60 peratus.
Malah, pengunjung juga berpeluang untuk mendapatkan potongan harga untuk barangan keperluan dengan tawaran harga menarik menerusi Jualan MADANI yang disertai 80 usahawan bermula 9 pagi hingga 6 petang sepanjang tiga hari.
Ia juga kesinambungan daripada Program Setahun kerajaan MADANI yang diadakan Disember tahun lalu.
Selain pameran perkhidmatan daripada kementerian terlibat, pelbagai aktiviti dan tawaran menarik menanti orang ramai. – MalaysiaMADANI