Berita

TVET mampu jadi pemangkin pertumbuhan ekonomi – TPM

KERJASAMA Malaysia – Filipina dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diyakini mampu memperkukuhkan hubungan strategik dan membawa manfaat besar kepada kedua-dua negara. 
 
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, perkara itu diutarakan ketika menghadiri perbincangan mengenai perkembangan TVET bersama Ketua Pengarah dan pasukan dari Technical Education and Skill Development Authority (TESDA). 
 
“Dalam perbincangan ini, kami sependapat bahawa pendidikan TVET sangat penting untuk memastikan generasi muda serta tenaga kerja sedia ada dilengkapi dengan kemahiran yang relevan dengan keperluan semasa pasaran kerja.  

“Selain melahirkan bakat baharu, TVET juga dapat membantu proses reskilling dan upskilling tenaga kerja, sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya. 
 
Ahmad Zahid berkata, pertemuan berkenaan membuka peluang untuk Malaysia dan Filipina berkongsi amalan terbaik, memperkukuh piawaian kurikulum dan saling mengiktiraf kelayakan akademik. 

 
Katanya,  melalui pertukaran kepakaran dan program latihan bersama, Malaysia dapat meningkatkan kemahiran rakyat dan merebut peluang baharu di pasaran global. 
 
Dalam pertemuan sama mereka turut membincangkan tentang industri halal dan yakin kekuatan Malaysia dalam pensijilan halal di bawah JAKIM dan kerjasama dengan TESDA dapat membangunkan ekosistem halal global yang lebih kukuh di Filipina.  
 

“Saya turut berbesar hati mengetahui bahawa eksport halal Malaysia ke Filipina meningkat sebanyak 7.4% pada 2023. Filipina kini menjadi destinasi eksport halal Malaysia ke-8 terbesar dunia dan ke-4 terbesar di ASEAN.  

“Ini membuktikan hubungan perdagangan yang kukuh dan permintaan yang tinggi terhadap produk halal di rantau ini,” ujar beliau.  – MalaysiaMADANI