Berita

JBIC beri jaminan tarik lebih ramai pelabur ke Malaysia

JEPUN Bank for International Cooperation (JBIC) menyatakan komitmen meningkatkan pelaburan sedia ada dengan menarik lebih ramai pelabur dari Jepun ke Malaysia.

Perkara berkenaan dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima kunjungan hormat delegasi JBIC yang diketuai Pengerusi JBIC merangkap Penasihat Khas kepada Kerajaan Jepun, Tadashi Maeda.

“JBIC kini giat mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat tempatan daripada pelbagai industri,” katanya.

Dalam pertemuaan yang turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Dasar, Tan Sri Mohd Hassan Marican itu, delegasi juga bertukar pandangan berhubung pembangunan tenaga hijau dan tenaga yang boleh diperbaharui.

“Pertemuan ini membolehkan kami bertukar pandangan terkait pembangunan tenaga hijau, tenaga boleh diperbaharui dan pasaran tenaga, serta pembinaan pusat-pusat data serta pelaburan di dalam industri pendigitalan,” katanya.

Anwar pada masa sama memberi jaminan kerjasama erat kedua-dua negara ini mampu meneroka lebih banyak peluang termasuk pelaburan yang berkualiti tinggi.

“Saya tekankan kepentingan memperkukuh persahabatan dan kerjasama erat antara Malaysia dan Jepun untuk terus meneroka lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi bagi memastikan kerjasama pelaburan, khususnya di dalam sektor tenaga ini direalisasikan demi kepentingan rakyat,” katanya. -MalaysiaMADANI