Berita

RM8.4 juta nilai jualan direkod sempena FAMA Fest di 7 negeri

SEBANYAK RM8.4 Juta jumlah nilai jualan berjaya direkodkan menerusi program FAMA Fest dengan kehadiran keseluruhan 459,417 pengunjung di tujuh negeri sepanjang tahun ini, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan. 
 
Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, program anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu berjaya mewujudkan platform bagi usahawan FAMA mempromosikan pelbagai hasil dan perkhidmatan pertanian termasuk keunikan makanan tradisi popular di dalam negara. 
 
“Di FAMA Fest 2024 kita berjaya memberi manfaat kepada 808 usahawan di Perak, Sarawak, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, kelantan dan Kuala Lumpur, lokasi penganjuran FAMA Fest. 
 
“Ia menjadi medan kepada komuniti tempatan bekerjasama mempromosikan serta menyokong produk tempatan sekali gus mencipta identiti tersendiri di kawasan masing-masing,” katanya. 
 

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Penutup FAMA Fest 2024 @Sabah yang berlangsung di Dewan Arked Tamu Keningau sempena Sabah menjadi lokasi kelapan penganjuran FAMA Fest tahun ini. 
 
Sempena penutup FAMA Fest di Sabah, pihaknya menyasarkan nilai jualan sebanyak RM250,00 dengan menarik 20,000 pengunjung dalam tempoh empat hari penganjuran yang berangsung 29 Ogos lalu. 

Arthur berkata program FAMA Fest telah memberi manfaat kepada pelbagai pihak khususnya rakyat tempatan yang menerima manfaat penjimatan harga bagi barangan keperluan selain menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi tempatan dengan meningkatkan pendapatan usahawan.
 
Malah, program berkenaan turut menampilkan pelbagai pengisian menarik antaranya Jualan Kombo MADANI, jualan promosi buah-buahan tempatan seperti limau bali, durian, bambangan dan tarap yang diperoleh dari pelbagai kawasan di Sabah. 
 
Katanya, penganjuran FAMA Fest yang bermula 2017 lalu berjaya mencatatkan kehadiran 2.2 juta pengunjung serta penyertaan 2,180 usahawan dengan nilai jualan RM24 juta. – MalaysiaMADANI