Berita

JAIS pantau sekolah agama dan pusat tahfiz 


 
PASUKAN siasatan khas ditubuhkan bagi mempergiatkan pemantauan dan siasatan ke atas sekolah agama dan pusat tahfiz bagi mengekang kegiatan berunsurkan eksploitasi kanak-kanak dan Islam, kata Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
 
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, kerajaan negeri komited bagi memastikan keselamatan pusat tahfiz dan sekolah agama daripada menjadi pusat eksploitasi kanak-kanak dan sebaran ajaran bercanggah. 
 

“Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah diarahkan dan sedang menjalankan pemantauan, semakan dan saringan ke atas pusat tahfiz dan sekolah agama yang berdaftar dan belum berdaftar dengan JAIS,” katanya. 
 
Pada masa sama, Dr Mohammad Fahmi berkata kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk menarik lesen operasi dan mengenakan penguatkuasaan tegas terhadap mana-mana pusat tahfiz atau sekolah agama yang terbabit dengan unsur berkenaan. 

Pasukan khas berkenaan akan dipengerusikan Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad itu antara usaha kerajaan negeri bagi menjamin kesucian Islam daripada anasir jahat dan sesat yang memudaratkan penganutnya. 
 

Terdahulu, beliau merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), atas tindakan tegas dan segera dalam menangani perkara ini. 

“Saya berharap agar siasatan diteruskan secara professional dan tindakan tegas segera diambil untuk kesalahan-kesalahan yang berjaya dibuktikan,” katanya lagi. 
 

Beliau pada masa sama menasihatkan orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan sekolah agama atau pusat tahfiz yang mengamalkan perkara salah boleh tampil melaporkan terus kepada JAIS di talian hotline 1800 88 2424. – MalaysiaMADANI