SEBANYAK RM39.8 juta diperuntukkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WWP) kepada mahasiswa baharu ke Universiti Awam (UA) dan Politeknik.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, KPT melalui Perbadanan Tabung Tinggi Nasional (PTPTN) terus komited membantu mahasiswa yang terkesan masalah kewangan mendaftar masuk ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
“Dalam menjaga kebajikan pelajar yang terkesan dengan memperuntukkan pemberian WPP berjumlah RM1,500 kepada setiap yang layak diharap dapat menampung sebahagian kos persiapan awal mereka memasuki IPTA.
“Lanjutan itu, bagi para pelajar yang akan memulakan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di IPTA sesi Oktober ini, PTPTN telah memperuntukkan tawaran WPP sebanyak RM39.8 juta yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 26,534 pelajar.,” katanya.
Terdahulu beliau turun padang untuk menyerahkan sendiri tawaran WPP kepada 51 orang pelajar baharu di daerah Manjung yang akan memulakan sesi pengajian mereka Oktober nanti.
Hadir sama, Penyelaras Kawasan Beruas, Datuk Dr. Azhar Ahmad; Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; serta Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Perak, Andi Nurali Mohamed.
Sejak WPP diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 31 Ogos 2024, seramai 980,120 orang pelajar telah menerima manfaatnya yang melibatkan peruntukan sejumlah RM1.45 bilion.
Tegas beliau, inisiatif berkenaan diberikan kepada pelajar baharu warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerimanya semasa membuat permohonan melalui portal UPUOnline atau melalui portal kemasukan IPTA masing-masing.
Malah bantuan WPP juga ditawarkan kepada para pelajar yang ibu bapa atau penjaganya merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang memenuhi kriteria kelayakan yang telah ditetapkan.
Beliau pada masa sama mengingatkan peminjam yang menerima manfaat berkenaan daripada pembiayaan PTPTN untuk dapat menjelaskan pembayaran balik pinjaman mereka dengan penuh tanggungjawab dan berhemah.
Katanya pembayaraan balik adalah tanggungjawab setiap peminjam selain dapat mengekalkan peranan serta kelangsungan PTPTN dalam membantu para pelajar mencapai cita-cita mereka di menara gading. – MalaysiaMADANI