Berita

21 projek digital kerajaan diintegrasi dengan teknologi revolusi 4IR

SEBANYAK 21 daripada 25 projek digital kerajaan, yang disasarkan untuk dicapai sehingga 2025, telah diintegrasikan dengan teknologi revolusi industri ke-empat (4IR), kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada tahun 2021 hingga 2024, pelaburan digital berjumlah RM185.3 bilion telah diluluskan termasuk projek-projek dari syarikat terkemuka.

Perkara tersebut dinyatakan ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN). 
 
“Melalui inisiatif ‘Digital Investment Office’, usaha menarik pelaburan dalam bidang digital yang strategik terus diselaraskan, dengan pelaburan digital berjumlah RM185.3 billion diluluskan daripada tahun 2021 hingga Jun 2024 termasuklah projek-projek dari syarikat terkemuka seperti NVIDIA dan Amazon Web Services (AWS)

“Saya dimaklumkan akan kemajuan dan pelaporan terkini bagi pelaksanaan Fasa 2 Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) dan Dasar 4IR Negara (D4IRN) yang menunjukkan perkembangan positif.,” katanya.
  
Tambah beliau, mesyuarat berkenaan turut mengambil maklum akan status pelaksanaan rangkaian 5G negara. 
 

Katanya  pelaksanaan rangkaian 5G negara adalah antara terpantas di dunia, dengan Malaysia mencatatkan 82 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk.  
 

“Namun, saya tegaskan terdapat keperluan untuk memperluaskan lagi perkhidmatan 5G ke seluruh negara dengan keutamaan diberikan di kawasan perindustrian, perkhidmatan kritikal, sekolah dan terutamanya di kalangan institusi pengajian tinggi awam,” katanya. – MalaysiaMADANI