Berita

Lebih 8 juta rakyat terima STR Fasa 3 mulai 29 Ogos ini

LEBIH 8 juta rakyat bakal menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 sehingga RM650 mengikut kelayakan masing-masing mulai 29 Ogos ini.

Manakala bagi penerima baharu dan rayuan pula akan menerima bayaran mulai Rabu, 18 September 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi Belanjawan 2024 peruntukan STR telah ditingkatkan sebanyak RM2 bilion atau 25 peratus daripada RM8 bilion pada tahun 2023 kepada RM10 bilion yang memanfaatkan penerima yang meliputi hampir 60 peratus penduduk dewasa di negara ini.

Katanya, penambahan peruntukan bagi STR 2024 mencerminkan komitmen Kerajaan Madani untuk membantu meringankan cabaran kos sara hidup rakyat, terutamanya bagi keluarga di bawah kategori B40 dan M40 terendah.

“Penambahbaikan STR 2024 adalah sejajar dengan pendekatan Kerajaan Madani untuk menumpukan sumber kewangan negara kepada rakyat yang memerlukan bantuan.

“InsyaAllah, dengan lebih penambahbaikan kepada pengurusan kewangan dan tatakelola, kerajaan akan mampu untuk memberi lebih bantuan pada masa kelak kepada golongan terbanyak serta rentan agar tiada rakyat yang tercicir,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Kementerian kewangan, hari ini.

Justeru, mulai 2024, kerajaan telah mengambil pendekatan baharu untuk membuka pendaftaran STR 2024 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.

“Penerima sedia ada dan penerima baharu/rayuan yang berdaftar di dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran STR Fasa 3 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Pada masa sama, Kementerian Kewangan menasihati penerima STR agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR.

“Sebagai perlindungan daripada kes penipuan (scam), pihak MOF tidak membuat penghantaran SMS dan mesej WhatsApp meminta maklumat peribadi kepada individu,” katanya.- MalaysiaMADANI