Berita

KPT teruskan MyBrain 2.0, beri keutamaan bidang sains, teknologi dan STEM

PELAKSANAAN program penajaan MyBrain 2.0 bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran (PhD) memberi keutamaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan ia selaras aspirasi kerajaan dalam memperkasakan bidang tersebut dan melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut di 20 Universiti Awam (UA) di seluruh negara.

“Bagi fasa pertama, Program MyBrain 2.0 mensasarkan penerima dalam kalangan orang awam yang tidak bekerja atau tidak berpendapatan tetap serta pensyarah Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan PhD,” katanya.

KPT menambah penajaan program MyBrain 2.0 merangkumi pembiayaan Yuran Pengajian dan Elaun Sara Hidup.

Kemudahan pembiayaan yang ditawarkan di bawah program ini merupakan satu daripada inisiatif pihak kerajaan meringankan beban kewangan pelajar di samping melahirkan graduan yang mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi.

Program MyBrain 2.0 merupakan satu platform penting dalam menyokong pembangunan modal insan negara yang mempunyai daya intelek yang tinggi serta berupaya memacu kemajuan dari segi pemikiran, kerohanian dan material untuk merealisasikan gagasan

Program ini juga merupakan kesinambungan daripada program MyBrain15 bagi menawarkan akses pendidikan lebih luas kepada semua rakyat Malaysia yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.

Permohonan program ini dibuka hari ini, 1 Ogos 2024 (Khamis) jam 3.00 petang sehingga 21 Ogos 2024 (Rabu) jam 11.59 malam secara atas talian melalui Sistem Permohonan MyBrain 2.0 di pautan: https://biasiswa.mohe.gov.my/MyBrain2.

Tahun lalu menyaksikan seramai 17,015 pelajar daripada pelbagai kumpulan sasar diberikan penajaan dalam bentuk biasiswa, dermasiswa atau bantuan kewangan melibatkan kos sebanyak RM156 juta. – MalaysiaMADANI