Berita

KPKM salur insentif RM645,750 kepada 40 usahawan tani Selangor

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah memberi insentif sebanyak RM645,750 kepada 40 orang usahawan tani Selangor.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pemberian insentif berkenaan melibatkan geran-geran seperti Geran Agropreneur Muda dan Geran Agrobazaar Rakyat menerusi 10 projek FAMA.

“Alhamdulillah hari ini juga, KPKM melalui FAMA akan memberikan insentif sebanyak RM645,750 kepada 40 orang usahawan tani melibatkan geran-geran seperti Geran Agropreneur Muda dan Geran Agrobazaar Rakyat,” katanya.

Penyerahaan berkenaan diberikan ketika merasmikan FAMA Fest 2024 @selangor yang diadakan selama empat hari bermula 27 hingga 30 Jun lalu di Aeon Mall Bukit Tinggi, Klang.

Dalam lawatan berkenaan beliau meluangkan masa melawat ke reruai usahawan dan promosi hasil tani produk myGAP dan myOrganic di dalam pasaraya berkenaan.

FAMA Fest merupakan salah satu acara tahunan FAMA bagi mempromosi dan memperkenalkan produk-produk pertanian serta agromakanan tempatan kepada orang ramai.

Tahun ini FAMA Fest menampilkan kelainan dengan melibatkan pameran teknologi yang boleh digunapakai dalam pembangunan kebun komuniti Selangor selain berjaya mewujudkan platform bagi usahawan mempromosikan pelbagai hasilan serta perkhidmatan pertanian termasuk kolaborasi dengan Pasar Saloma dengan kunikan makanan tradisi popular dalam negara. – MalaysiaMADANI