Berita

Kerjasama Malaysia-Iran dalam bidang pertanian bawa manfaat kedua negara

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan yakin kerjasama dengan Iran dalam sektor makanan mampu membawa manfaat besar kepada kedua-dua negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Iran menyatakan hasrat untuk mengadakan kerjasama dengan Malaysia menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) dan telah menghantar draf pertama kepadanya.

“Kerajaan Iran ingin mengadakan MoU mengenai kerjasama pertanian dengan Malaysia dan telah menghantar draf pertama kepada pihak Kementerian.

“Saya amat gembira menantikan kerjasama ini terhasil kerana manfaat yang cukup besar akan dapat diberikan kepada kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat dari Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi dan delegasi di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang.

Dalam pertemuan berkenaan, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Presiden Iran, Dr. Masoud Pezeshkian kerana telah memenangi pilihan raya baru-baru ini dan yakin hubungan erat kedua-dua negara akan terus di bawah pemerintahan kerajaan baharu.

Mohamad pada masa sama menyatakan keyakinan bahawa MoU tersebut akan menyediakan asas yang kukuh untuk meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Iran dalam bidang pertanian.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, pihaknya kini melalui MARDI sedang menunggu maklum balas positif daripada pihak Iran untuk kelulusan mengimport ayam Arian.

Malah, memohon kerjasama dengan dengan Mohammadi Nasrabadi untuk memudahkan urusan tersebut.

Beliau turut menjemput Valiollah dan delegasi untuk sama-sama menyertai MAHA 2024 yang akan diadakan pada 11 hingga 22 September depan yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang. – MalaysiaMADANI