Berita

142,510 individu dibebaskan bankrap lepasi sasaran awal 130,000 – PM

SEJUMLAH 142,510 pelepasan bankrap dicatatkan melalui inisiatif Dasar Peluang Kedua yang dilaksanakan kerajaan .

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelepasan berkenaan melebihi daripada sasaran awal iaitu 130,000 kes.

“Dasar tersebut merupakan salah satu inisiatif di bawah Prinsip Rukun Ihsan untuk membawa pelaksanaan undang-undang kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

Terdahulu beliau berucap pada Majlis perasmian Sambutan 100 Tahun Insolvensi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Anwar pada masa sama menegaskan individu ataupun syarikat yang telah diberikan peluang kedua selepas muflis atau bankrap, haruslah membuat proses susulan dan langkah seterusnya demi transisi kehidupan lebih baik.

Katanya, adalah penting bagi mereka supaya tidak mengulangi kesilapan lepas dan pada masa yang sama merebut peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan .

“Ia boleh diperoleh melalui rangkaian jabatan dan kementerian yang pelbagai seperti TEKUN, MARA atau PUNB,” katanya.

Anwar ketika membuat Pembentangan Bajet Tahun 2024 mengumumkan Dasar Peluang Kedua khusus bagi mereka yang diisytiharkan bankrap sebagai memberikan peluang untuk kembali menyumbang kepada ekonomi dan menjalani kehidupan yang lebih baik.

Dasar berkenaan menyasarkan pelepasan 130,000 orang yang diisytihar bankrap, hingga tempoh masa setahun selepas Akta A 1695 berkuat kuasa. – MalaysiaMADANI