MALAYSIA memperluaskan hubungan dengan China apabila sepakat dalam kerjasama pelbagai bidang menerusi 14 memorandum persefahaman (MoU).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertukaran MoU dibuat sempena lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri China Li Qiang dan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
Pertukaran MoU berkenaan melibatkan beberapa bidang antaranya ekonomi digital, media, pembangunan hijau, pelancongan, keselamatan, perumahan dan pembangunan ubranisasi, pendidikan tinggi, sains dan teknologi serta pengeksportan agrokomoditi.
“Saya dan Premier Li menyaksikan pertukaran 14 memorandum persefahaman (MoU) dan persetujuan dalam pelbagai bidang kerjasama antara Malaysia dan China.
“Antara Kementerian terlibat adalah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Komunikasi, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), Kementerian Kewangan,.
“Turut terlibat adalah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),”katanya.
Terdahulu, Anwar meraikan Premier Li dan delegasinya dalam majlis makan tengah hari di Seri Perdana.
Selain daripada MoU, kedua-dua pemimpin negara itu juga memeterai kitaran kedua program lima tahun Malaysia-China untuk kerjasama ekonomi dan perdagangan.