Berita

159,027 lepasan SPM 2023 ditawarkan tempat di IPTA

SERAMAI 159,027 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 ditawarkan tempat melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan, daripada jumlah tersebut, seramai 83,667 calon ditawarkan di universiti awam (UA) manakala 43,531 lagi ditawarkan di politeknik, 26,474 kolej komuniti dan 5,355 di Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA)

“Tahun ini, KPT telah menerima 214,173 permohonan yang layak bagi lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian menerusi UPUOnline.

“Bagi Tawaran Laluan Khas pula, secara keseluruhan adalah sebanyak 16,593 dengan pecahan tawaran iaitu 15,082 bagi Kategori B40, 425 Orang Kurang Upaya (OKU), 732 atlet dan 354 Orang Asli.

“Selain itu, seramai 31 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mendapat tawaran,” katanya.

“Pihak Kementerian mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang berjaya semoga peluang menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya.

“Kepada calon yang tidak mendapat tawaran tempat pengajian, kementerian kini telah membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline dalam tempoh 10 hari bermula 26 Jun hingga 7 Julai,” katanya.

KPT secara keseluruhan sebanyak 504 program pengajian telah ditawarkan bagi sesi kali ini dengan pecahan 104 sijil, 53 asasi, 346 diploma dan satu ijazah sarjana muda. – MalaysiaMADANI