Berita

NGO, GLC dan entiti perniagaan perlu bersama usaha bersama tangani isu kemiskinan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua pimpinan masyarakat termasuk badan bukan kerajaan (NGO), tokoh individu, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan entiti perniagaan perlu bersama-sama menggerakkan usaha memastikan isu kemiskinan dapat ditangani.

Beliau berkata demikian pada Kongres Menoktah Kemiskinan: Peranan Sektor Ketiga yang dikelolakan oleh Yayasan Basmi Kemiskinan di UNITEN, Bangi, baru-baru ini.

Kata Zahid, kepakaran pelbagai pihak diperlukan melalui satu wadah untuk membantu Kerajaan ke arah usaha mensejahterakan rakyat dan menoktahkan kemiskinan.

“Saya berharap agar kongres ini dapat membuahkan resolusi yang memacu arah ke depan (way forward) bagi mencapai matlamat dan agenda Malaysia MADANI.

“Sudah pasti, perkara utama yang dibicarakan dan dikupas di dalam kongres ini adalah mengenai taraf dan keadaan hidup rakyat yang terkait dengan kemiskinan,” katanya.

Pada kongres itu, satu resolusi dihasilkan yakni “Peranan Sektor Ketiga bersama Menoktah Kemiskinan di Malaysia”, yang mana resolusi mengandungi empat dimensi dengan 27 sub dimensi.

Dimensi ini merangkumi sektor ketika yang menjadi rakan kongsi dalam menoktah kemiskinan melalui inisiatif berteraskan data dan perkongsian pintar. Tambahan itu, melalui proses pendanaan yang lestari juga akan memberikan impak dalam menurunkan kadar kemiskinan negara.

Zahid turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Benevolent Malaysia, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) yang bekerjasama dalam mengurus solusi pada kongres berkenaan.