Berita

KPM peka tangani isu buli, perkenal garis panduan baru

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa peka terhadap kes-kes buli di kalangan pelajar dan telah memperkenalkan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 12 Tahun 2023: Pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan bawah KPM. Langkah-langkah baharu ini telah diumumkan untuk mengatasi isu buli di kalangan pelajar di seluruh negara dan memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif bagi semua pelajar.

Antara langkah-langkah yang diperkenalkan termasuk:

  1. Menghubungi ibu bapa atau penjaga murid yang terlibat.
  2. Menghantar dan mengiringi murid yang terlibat ke klinik atau hospital kerajaan yang berdekatan untuk pemeriksaan fizikal jika mereka mengalami kecederaan atau gangguan emosi.
  3. Memastikan aduan yang dilaporkan direkodkan dalam Sistem Sahsiah Diri Murid.
  4. Memastikan laporan awal dilengkapkan mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 7 Tahun 2011: Pelaksanaan Standard Operating Procedure (SOP) 1:3:7 Pelaporan dan Tindakan Mengenai Isu Disiplin Murid.
  5. Mengemukakan laporan awal kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), dan KPM
Gambar Hiasan

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, dalam satu kenyataan, menyatakan bahawa KPM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesedaran murid bagi mencegah gejala buli di sekolah. Beliau menekankan bahawa KPM juga menjalin kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jawatankuasa Permuafakatan KPM-PDRM untuk menangani isu salah laku murid termasuk buli di sekolah. Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dalam kalangan anggota PDRM turut dilantik di setiap sekolah untuk membantu mengatasi isu salah laku murid.

YB Fadlina Sidek turut menyatakan bahawa tempoh penyelesaian kes buli adalah 90 peratus selesai dalam tempoh 15 hari selepas diadu melalui portal Aduan Buli. Bagi kes yang belum selesai, ia memerlukan siasatan lanjut melebihi 15 hari bergantung kepada kes yang dilaporkan.