Berita

200,000 rakyat miskin tegar terima RM600 Isnin depan

PUTRAJAYA – Seramai 200,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang dikategorikan sebagai miskin tegar berdasarkan data e-kasih akan menerima Sumbangan Asas Rahmah (Sara) berjumlah RM600 mulai Isnin depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian bantuan itu menerusi aspek Perlindungan Sosial Untuk Rakyat Memerlukan dilaksanakan sebagai langkah awal merealisasikan Naratif Ekonomi Madani sebelum pembentangan Belanjawan Madani 2024.

“Perincian berhubung Program Sara ini akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya menerusi ucaptama Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di sini pada Jumaat.

Menurutnya, kerajaan menanggung 80 peratus daripada nilai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Inisiatif itu bagi menggalakkan pekerja ekonomi gig membuat caruman dengan peruntukan RM100 juta,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Skim Perubatan Madani turut diperkenalkan khusus untuk golongan B40 mendapat rawatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta (GP) dengan peruntukan RM100 juta.

“Melihatkan kepada sambutan menggalakkan dan keberkesanan skim ini, kerajaan juga bersetuju untuk memperluaskan pelaksanaan ke tujuh negeri lagi di bandar kependudukan tinggi seperti Klang, Johor Bahru dan Kuching,” ujarnya.