Berita

Belanjawan 2024: Kesihatan, pendidikan terus diberi peruntukan paling besar – Anwar

Ipoh: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan akan terus mendapat peruntukan terbesar dalam Belanjawan MADANI 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Oktober ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata antara isu yang akan difokuskan dalam Belanjawan MADANI kedua itu bagi KKM ialah pembinaan klinik-klinik kesihatan dan mengatasi masalah kesesakan hospital kerajaan di seluruh negara.

“Dalam Belanjawan MADANI, isu kesihatan dan pendidikan kita akan terus utamakan. Fokus utama ialah kemudahan kesihatan termasuk rumah sakit.

“Ada yang kata sejak Anwar jadi PM, kebanyakan hospital sesak, sesak ini dah lama berlaku, jadi kita akan uruskan dengan baik,” kata beliau ketika berucap melancarkan Skim Perubatan MADANI dan program MADANI Afiat Peringkat Kebangsaan 2023 di sini hari ini.

Sementara itu, Anwar berkata rasionalisasi subsidi perlu disusun supaya bantuan subsidi kerajaan dimanfaatkan oleh golongan yang benar-benar memerlukan termasuk caj rawatan hospital kerajaan.

“Kena kaji, kalau nak terus bagi subsidi, yang 10 peratus (golongan berpendapatan tinggi) kita tak perlu bagi subsidi, macam hospital, caj rendah, percuma pun ada, tapi kita bagi pada semua, salah kah golongan paling kaya kita kenakan bayaran lebih tinggi,” kata beliau.

Menyentuh mengenai Skim Kesihatan MADANI, Perdana Menteri berkata ia adalah satu inisiatif penting Dasar Malaysia MADANI bertujuan menyediakan akses sama rata perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada golongan B40.